Wednesday, 6 February 2013

TEMPAT NOSTALGIA



Bila aku melayari Google imej terpandang olih ku gambar-gambar lama yang pernah menjadi sebahagian dalam peristiwa kehidupanku.
Antaranya ialah:






Kedai di Jalan Peel –
Kenangan ku sewaktu kecil balik dari mengaji di Sekolah Agama Attaufiqiah Jalan Laxamana dimana sering membeli sebungkus air tebu digerai berhampiran.

Juga kenangan memakan sup ayam mamak yang pertama kali diperkenalkan olih bapak ku serta pengalaman membeli sate dalam kuantiti banyak untuk keluarga setiap kali bapak ku atau pakcik ku menerima gajinya.

Diantara deretan kedai ini juga aku sering membeli komik-komik kartun atau pahlawan yang sering membuat mak ku marah kerana duit sekolah yang diberikannya aku bazirkan dengan pembelian komik-komik tu.

Juga aku masih ingat kenangan membeli kasut sekolah bersama arwah emak dikedai buku didalam deretan kedai ini.

Indahnya kenangan!!





Ibu Pejabat St. John Ambulance –
Tempat dimana aku sering melakukan aktiviti korikulum persekolahan menengah ku.

Aku adalah ahli kedet dalam pasukan beruniform ini malah pangkat tertinggi & terakhir ku sebelum aku meninggalkan alam persekolahanku adalah setakat Sarjan saja dengan jawatan khas BDD (Bridget Duty Director) dimana tugas-tugasnya ialah memastikan ahli-ahli pasukan St. John sekolahku membuat tugasan kecemasan di sekolah dan juga di dalam acara-acara besar luar sekolah umpamanya Sukan antara sekolah, Perlawanan Bola dan banyak lagi yang membabitkan aktiviti sukan.

 Aku juga pernah berkawad di kawasan parkir bangunan ini dan kalau ku ceritakan mengenai pengalamanku dalam pasukan ini memang banyak tapi iyealah!....ianya tinggal kenangan cuma nak mengesahkan sahaja yang tempat ini antara yang manis & pahit didalam warna kehidupanku.





Bangunan Sekolah Cochrane Road School
Ini lah bangunan yang aku duduki dalam kelas satera & didalam bangunan inilah berlakunya bermacam-macam karenahku sebagai murid nakal.

 Mengintai kakak-kakak Upper Six turun & naik kelas, berdiri di luar kelas, bergaduh fuh! Kenangan beb!...

Ini betul-betul tempat yang menyimpan seribu kisah dari sebahagian kehidupan ku ini






Bas Mini –
Ini lah kenderaan kenangan dimana Abah ku menjadi antara pemandunya dalam membawa penumpang di area Cheras ke Chow Kit.

Aku teringat dalam bas ini ada sit nya yang mengadap kedepan dan ada juga yang mengadap ke sisi.

Ketika ini air cond memang tak wujud lagi rasanya dalam bas awam cuma ada kipas kecil yang bolih berputar kira kanan je. Bila hujan, tingkap ditutup sedikit bagi angin masuk dan kalau terjadinya kes ’kebocoran gas’ maka tingkap yang ditutup sedikit akan diturunkan seluas-luasnya serta mulalah aktiviti sembul dan jelur kepala hanya nak menghirup udara tanpa menghiraukan basah hujan.

Tiket kalau tak salah masa ini 50 sen je sekali naik baik jauh ke atau dekat.



Bas Toong Fong & Foh Hup –
Toong Fong bas ni adalah kenderaan awam ku yang sering ku lalui selain Foh Hup dimana 2 syarikat company bas inilah yang melalui ke kawasan kediaman ku.
Ingat lagi tiket-tiket yang diberikan berwarna –warni mengikut harga destinasi tempat itu.
Foh Hup adalah bas yang laju dibandingkan dengan Toong Fong yang mana bas ni hanya bolih dinaiki di stesen Puduraya manakala stesen bas Toong Fong pula di Jalan Silang. Aku kerap naik bas Toong Fong dari Foh Hup ni memandangkan urusan aku masa tu di Jalan Pasar & kekadang di Kotaraya komplek KL.



Ampang Park-
Tempat yang aku masih ingat masa kecil bila mana ibubapa ku membawa ku bermain di tingkat atas bangunan ini yang penuh dengan permainan kanak-kanak macamkuda henjut, kereta henjut & yang best sekali masa tu ialah Ultraman henjut maklumlah budak kan? ….Semuanya kena bayar kalau tak salah 50 sen je. Kenangan tul masa tu.


Dalam menjangkau separuh abad usia ku ini, semua tempat-tempat ini sememangnya menjadi nostalgia pahit manis pengalaman hidup ku dan selamanya kan terpahat dalam memori ku.






No comments:

Post a Comment